Sunday, October 25, 2009

Masjid itu Rumahku

Umat ini pada hakikatnya ialah umat yang mulia. Kita telah dimuliakan oleh Allah sehingga kemuliaan dan ketinggian kita telah diceritakan kepada seluruh nabi-nabi yang datang sebelum kita (Al-Fath [48]: 29). Kemuliaan kita menjadi semakin sempurna disebabkan hubungan kita dengan Rasulullah s.a.w. dan usaha yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. (Al-Anbiya’ [21]: 107; Aali ‘Imran [3]: 110; Yusuf [12]: 108). Tidak ada nabi dan rasul yang datang sebelum Rasulullah s.a.w. yang tidak mengkhabarkan berita gembira tentang Rasulullah s.a.w. dan umat baginda kepada kaum mereka (Aali ‘Imran [3]: 81). Kita telah dinobatkan sebagai ‘Khaira Ummah’ (Umat Yang Terbaik) di kalangan umat-umat yang pernah muncul di atas muka bumi ini. Martabat ‘Khaira Ummah’ yang gelarannya dititahkan dan dimaktubkan sendiri oleh Allah Azza Wa Jalla yang telah menciptakan sekalian manusia dan seluruh alam, merupakan suatu gelaran yang amat agung, seagung keagungan Sang Pemberi Anugerah itu sendiri.

Bagaimanapun, kemuliaan ini adalah kemuliaan bersyarat. Gelaran ini hanya akan kekal, apabila syarat yang melazimkannya itu kekal pada umat. Umat ini akan kekal mulia, selagi mana mereka memenuhi syarat-syarat yang berikut, iaitu: hakikat iman, usaha meningkatkan iman dan usaha meyebarkan iman. (Aali ‘Imran [3]: 110) Allah berfirman, “Sesungguhnya Al-‘Izzah (kemuliaan) itu hanyalah untuk Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.” (Al-Munafiquun [63]: 8). Firman Allah Taala lagi, “Janganlah kamu merasa hina dan janganlah kamu merasa dukacita, kamulah yang tetap tinggi (dan mulia) sekiranya kamu benar-benar beriman.” (Aali ‘Imran [3]: 139) Dalam firman-Nya yang lain dinyatakan, “Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu…” (Al-Maidah [4]: 136) Di sini ada gesaan kepada orang-orang yang sudah punya iman, agar mempertingkat dan memperteguhkan lagi iman mereka. Allah berfirman, “Dan hendaklah ada sebahagian daripada kamu satu umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala yang makruf (baik) serta melarang daripada segala mungkar (salah, buruk dan keji). Dan mereka itulah (yakni orang-orang yang menjalankan usaha dakwah, amar makruf dan nahyi mungkar) orang-orang yang berjaya!” (Aali ‘Imran [3]: 104) Syaikh Muhammad Abu Zahrah di dalam bukunya Kitab Ad-Dakwah ilal-Islam, semasa memberikan komentarnya kepada ayat ini menyatakan, “Perkataan ( min ) yang bermaksud ‘daripada’ di dalam ayat ini boleh diertikan (secara nahunya) sebagai ( min bayaniah ) atau “( min ) penerangan”; jika demikian, ayat ini hendaklah difahamkan sebagai, “Dan hendaklah kamu semua – wahai keseluruhan kaum muslimin – menjadi satu umat yang semuanya berfungsi sebagai pendakwah kepada kebaikan, penyuruh dengan perkara makruf dan pencegah daripada perkara mungkar.” Intaha.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sebaik-baik manusia ialah pada kurunku, kemudian kurun yang sesudah mereka, kemudian kurun yang sesudah mereka...” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim) Sebahagian ulamak memberikan pengertian kurun di sini dengan makna generasi, manakala sebahagiannya pula dengan makna yang zahir, iaitu tempoh masa satu abad. Daripada sabdaan suci ini, jelas bahawa tiga ratus tahun yang pertama atau tiga lapisan generasi yang pertama dalam sejarah kemunculan umat ini, ia adalah sebaik-baik zaman yang telah diberikan pujian terlebih awal oleh Sodiqul-Masduq (Seorang Yang Benar lagi Dibenarkan) iaitu Rasulullah s.a.w. sendiri. Sekiranya kita benar-benar berusaha meneliti keadaan Zaman Yang Dipuji ini, sudah pasti kita semua bersetuju bahawa antara ciri zahir yang menjadi jati diri warga Zaman ini ialah masjid-masjid yang telah dimakmurkan dengan sebenar-benar pemakmuran. Masjid-masjid telah benar-benar berfungsi sepanjang 24 jam setiap hari sebagai gedung rahmat dan nur keimanan, medan pembinaan dan peningkatan iman serta markaz di mana tersebarnya iman.

Kenapa masjid? Masjid adalah suatu yang penting. Kepentingan masjid dapat dilihat seawal kemunculan manusia di atas muka bumi ini. Bukankah Allah mengatakan bahawa (1) masjidlah (yakni Baitullahil-Haram) merupakan seawal-awal binaan yang dibangunkan untuk manusia beribadah kepada Allah? (Aali ‘Imran [3]: 96) Malah dalam sejarah umat ini, bukankah peristiwa Israk dan Mikraj menyatakan bahawa (2) Israknya Rasulullah s.a.w. ialah daripada Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa, yakni daripada masjid ke masjid? (Al-Israk [17]: 1) Bukankah (3) perkara pertama yang disegerakan Rasulullah s.a.w. semasa hijrah baginda seusai saja sampai di Madinah (Yathrib) ialah membina masjid di Quba’, yang mana diperakui oleh Allah sebagai ‘lamasjidun ussisa ‘alat-Taqwa’ (Masjid yang diasaskan atas Ketaqwaan)? (At-Taubah [9]: 108) Bukankah (4) setibanya saja Rasulullah s.a.w dan Saiyidina Abu Bakar r.a. di Madinah, masjid yang terlebih dahulu dibina berbanding rumah Rasulullah s.a.w. sendiri?

(5) Sehingga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sekiranya kamu melihat seseorang itu berulang-alik (membiasakan dirinya) ke masjid (yakni dengan memakmurkan), maka bersaksikanlah oleh kamu kepadanya dengan keimanannya,” lalu Rasulullah s.a.w. membacakan ayat yang berikut, “Hanyasanya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah, ialah mereka yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.” (At-Taubah [9]: 18) (Riwayat At-Tirmizi). Riwayat ini merupakan himpunan dan gabungan Kalam Allah dan Kalam Rasul-Nya. Hadis ini mengandungi gesaan dan perintah Rasulullah s.a.w. yang suci, dan baginda teguhkan sabdaan baginda dengan firman Allah Rabbul-Alamin. Alangkah berbahagianya mereka, yang mana keimanannya telah dipersaksikan dan dibenarkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. Tidak tersentuh dan tergerakkah hati kita untuk mendapatkan sama bahagian dalam persaksian dan pembenaran Rasulullah s.a.w. ini? Tidak gelisah dan merontakah hati kita atas saranan suci-murni ini?

Elok agama di dalam masjid, maka akan eloklah agama di luar masjid. Jika yang tinggal hanya solat lima waktu sahaja di dalam masjid, maka di luar masjid juga umat ini hanya akan faham dan menyangka bahawa solat itu sajalah sebagai agama. Akhirnya, sebahagian besar hidup manusia telah dipisah-pisahkan daripada agama. Apa itu agama? Agama ialah seluruh perintah Allah, sebagaimana cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Bagi setiap individu, lima juzuk hidup, iaitu: imaniah, ibadah, muasyarah, muamalah dan akhlak perlu diwarnakan dengan celupan agama, dengan Sibghatullah. (Al-Baqarah [2]: 138) Begitu juga pada tahap keluarga, masyarakat dan negara; malah pada peringkat Daulah / Khilafah Islamiyyah apabila tiba saatnya suatu masa nanti.

Masjid perlu dimakmurkan. Masjid tidak dimakmurkan dengan binaan yang kukuh dan perhiasan yang elok, walaupun untuk perkara sebeginipun ada ganjarannya seperti saranan membina masjid, menyalakan lampu dan memberikan haruman kepada masjid. (Sebagaimana hadith-hadith riwayat Ibnu Hibban, Abu Daud, At-Tabrani dan lain-lain) Bagaimanapun ditegaskan, ruh masjid bukan pada kehebatan binaannya dan banyaknya kemudahan di dalamnya, tetapi ruh masjid ini akan gemilang dan terbilang hanya apabila dimakmurkan dengan amalan-amalannya. Untuk itu tidak ada cara lain, kita semua kena mula memberi dan melapangkan masa untuk masjid. Masjid tidak akan benar-benar dapat dimakmurkan, jika kita hanya menunggu masa lapang untuk memakmurkan masjid. Sebagaimana kita sedia melapangkan masa kita untuk urusan lain, maka agenda memakmurkan masjid perlu menjadi keutamaan juga untuk kita melapangkan masa kita setiap hari. Hanya apabila kita semua sedia untuk membuat keputusan sebegini, barulah masjid mula dapat dimakmurkan dengan amalan-amalannya dengan sempurna dan meliputi 24 jam sehari semalam. Dan barulah, masjid-masjid akan menjadi kilang-kilang hidayah dan islah umat, menjadi klinik rawatan iman dan kehidupan, menjadi tempat umat mendapatkan keperluan-keperluan agama dan kerohanian mereka, dan akhirnya masjid-masjid akan menjadi saksi hidup atas keimanan dan kehangatan hakikat iman umat ini.

Umat tanpa mengira kedudukan, kebolehan, profesion dan taraf mereka, kesemuanya mampu untuk menjayakan gagasan memakmurkan masjid 24 jam setiap hari ini. Gagasan ini bukanlah bermakna, setiap diri kita perlu hanya berada di masjid 24 jam setiap hari sehingga meninggalkan kewajipan-kewajipan lainnya. Itu bukanlah apa yang diamalkan oleh para sahabat dan salaful-ummah, kecuali sebahagian kecil individu yang khusus di kalangan mereka. Umat perlu buat keputusan terlebih dahulu untuk sedia melapangkan masa di masjid-masjid mereka. Gagasan ini bukanlah suatu yang mustahil. Kedai runcit, stesen minyak, klinik, kilang, kedai makan dan sebagainya boleh dibuka dan beroperasi 24 jam setiap hari kerana manusia memberi kepentingan kepada perkara tersebut. Begitu juga masjid, jika kita juga mula memberi kepentingan kepada masjid dan amalan-amalan masjid, maka perkara ini juga akan dapat dicapai. “Dan orang-orang yang bermujahadah (berjuang, berjihad, berusaha dan bersungguh-sungguh) pada pihak Kami, maka pasti dan pasti dan pasti Kami (yakni pihak Allah Taala) akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami.” (Al-‘Ankabut [29]: 69) Kita berikan apa yang terbaik dalam kemampuan kita, Allah akan sempurnakan apa yang kita tidak mampu. Allah hanya mahu lihat kesungguhan kita, selebihnya bak kata Nabi Syu’aib a.s., “Sesungguhnya aku hanya menginginkan Islah setakatmana dayaku, dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan Allah, kepada-Nya aku bertawakal dan kepada-Nya aku kembalikan (urusan ini).” ( Hud [11]: 88)

Seluruh umat perlu dibawa kepada masjid dan amalan masjid. Seorang ulamak di dalam bidang hadis dan islah umat, serta pakar di dalam Sirah Nabawiyah dan Hayat Sahabah, Al-‘Allamah Al-Muhaddith As-Syaikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi rah.a. menyatakan bahawa amalan-amalan masjid dapat dikategorikan kepada empat amalan, iaitu: (1) Amalan Dakwah, (2) Amalan Ta’lim dan Ta’lum (Belajar dan Mengajar), (3) Amalan Ibadah dan (4) Amalan Khidmat. Inilah empat amalan yang perlu untuk kita hidupkan 24 jam sehari semalam di setiap masjid dan surau kita. Inilah gagasan besar yang menjadi tuntutan ke atas umat pada hari ini. Tanpa menafikan kepentingan usaha dalam bidang-bidang yang lain; gagasan untuk kembali memakmurkan masjid-masjid umat dengan amalan-amalan masjid selama 24 jam dalam sehari merupakan usaha asas demi mengembalikan kemuliaan umat ini. Selagi umat ini atau sebahagian besar umat ini terasing daripada masjid, selagi itulah kita akan hanya menjadi ‘buih-buih di laut’.

Agama bukanlah hanya satu kepercayaan dan ajaran yang bersifat hanya konsep dan falsafah untuk didiskusikan, diforumkan dan disembang-sembangkan. Malah ia menuntut bukti dan tindakan. Dan bukti praktikal yang paling asas yang telah dicontohkan oleh Salaful-ummah ialah apabila setiap individu umat ini bersedia untuk kembali ke dalam dakapan masjid. Ini adalah teras kepada kemuliaan umat. Masjid adalah sumber kemuliaan umat ini. Apabila umat mula kembali kepada masjid, barulah puluhan ayat Al-Quran dan ribuan hadis Rasulullah s.a.w. kembali dapat dilihat praktikalnya di alam nyata, dan tidak lagi hanya sekadar menjadi catatan suci yang hanya bersifat teori. Sebagai satu contoh, dalam satu hadis dinyatakan bahawa pada Yaumil-Mahsyar nanti, ada tujuh golongan yang akan berada di bawah naungan Arasy Allah, salah satunya ialah seorang lelaki yang hatinya senantiasa terpaut kepada masjid (Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan selain keduanya). Hampir semua kita maklum tentang hadis ini, tetapi dimanakah kita dapat lihat secara praktikalnya golongan ini? Oleh itu, apabila gagasan ini dapat dilancarkan dan disambut oleh umat, pasti apa yang dikhabarkan ini akan menjadi satu realiti di hadapan mata kita. Ini sekadar satu contoh.

Untuk membincangkan modus operandi bagaimanakah gagasan dan matlamat untuk memakmurkan masjid 24 jam setiap hari dapat dicapai, memerlukan ruang yang amat panjang. Bagaimanapun, gagasan ini boleh dimulakan melalui dua perkara. Pertama, apabila umat ini mula membuat keputusan, bersedia untuk melapangkan masa mereka sekurang-kurangnya 10 % daripada 24 jam mereka. Maknanya, setiap diri kita bersedia untuk melapangkan masa 2 ½ jam setiap hari khusus untuk memakmurkan masjid-masjid kita. Setiap orang mempunyai masa mereka sendiri yang sedia dan sesuai untuk dilapangkan. Jika setiap orang mula memberikan komitmen dan melapangkan 2 ½ jam setiap hari mengikut kemampuan dan masa pilihan mereka, akhirnya kita akan dapati, masjid-masjid telah mula dimakmurkan selama 24 jam dalam sehari. Kedua, kesemua yang telah menjadi ahli jamaah masjid, mengadakan mesyuarat ringkas setiap hari di mana agendanya ialah di sekitar memikirkan dan menyelaras bagaimanakah usaha perlu dibuat bagi menjadikan masjid dapat makmur dan beroperasi 24 jam setiap hari dengan empat amalan masjid tadi: dakwah, taklim, ibadah dan khidmat. Daripada mesyuarat harian ini, usaha akan digerakkan dan diselaraskan.

Gagasan ini begitu sederhana dan terbuka kepada semua individu umat ini. Satu-satunya pra-syarat yang perlu ialah kalimah ‘La ilaaha illallah’ yang ada di dalam hati sanubari kita. Kita bulatkan tekad dan mula membuat keputusan. War-warkan gagasan ini. Dengan izin Allah, segala keberkatan masjid sebagai gedung rahmat dan hidayah umat ini, akan terzahir dan dapat dirasai oleh umat ini sekali lagi. Untuk itu, siapakah yang bersedia untuk melapangkan masanya 2 ½ jam setiap hari untuk masjidnya?

dipetik dari Blog Ustaz Gunawan Aziz

Saturday, August 22, 2009

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

AJK Surau An-Nur Kasturi Height amnya dan Biro Penerangan khasnya mengucapkan kepada semua pengunjung Blog ini Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Marilah kita sama-sama mengimarah Surau atau Masjid di kariah masing-masing untuk meraih sebanyak mungkin kebaikan yang Allah berikan di bulan yang sangat barakah ini.

Tuesday, August 11, 2009

Kenduri Tahlil Keluarga Puan Nor

Malam ini telah berlangsung Majlis Tahlil Keluarga Puan Nor yang diadakan di Surau. Majilis tersebut diadakan selepas Pengajian Mingguan Ustaz Najmuddin. Bacaan Tahlil telah diketuai oleh Cikgu Azhari Awang Mat, selaku Imam 1 Surau An-Nur.






Sunday, August 9, 2009

MESYUARAT KHAS AJK BAGI MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK

Bertempat di Surau An-Nur Kasturi Height selepas solat Maghrib telah diadakan Mesyuarat AJK Surau khas bagi membincangkan beberapa perkara penting terutama bagi persediaan menyambut kedatangan Ramadhan Al Mubarak. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Dato' Pengerusi, Dato' Hj Wazir bin Hj Muaz. Minit mesyuarat pula telah dicatit oleh Setiausaha Surau, Prof Dr Mohammad Hj Alias. Di antara ketetapan yang telah diambil adalah perkara2 berikut;
  1. Menerima perletakan jawatan Sdr Mohd Kudus kerana beliau terpaksa berpindah ke Sabah dan tempat beliau sebagai Pengerusi Biro Penerangan digantikan oleh En Kamaruzzaman bin Mohd Isa. Pihak AJK merakam ucapan terima kasih di atas sumbangan yang beliau telah berikan semasa melaksanakan tugas beliau sebagai Pengerusi Biro Penerangan.
  2. Mesyuarat telah mengambil ketetapan untuk memisahkan hal ehwal pengurusan jenazah dari Biro Sosial dan Kebajikan dan untuk itu, Biro Pengurusan Jenazah yang khusus telah dibentuk dan diketuai oleh Cikgu Azhari Awang Mat yang juga Imam 1 Surau An-Nur. Biro ini akan berfungsi bagi mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan pengurusan jenazah bagi kemaslahatan ahli kariah.
  3. Bagi melicinkan khidmat penyediaan jamuan berbuka puasa dan moreh di sepanjang Bulan Ramadhan, ketetapan telah dibuat untuk melantik kontraktor khusus bagi membekal serta menyelenggara penyediaan jamuan berbuka serta moreh termasuk bagi pembersihan peralatan selepas jamuan tersebut. Ahli kariah sekali lagi dialu-alukan untuk menyumbang dana bagi menampung perbelanjaan yang dianggarkan berjumlah RM200 setiap hari.
En Kamaruzzaman Mohd Isa

GOTONG ROYONG MEMBERSIHKAN SURAU

Bertempat di Surau An-Nur Kasturi Height pagi ini telah diadakan gotong royong membersihkan surau sebagaipersediaan bagi kedatangan Ramadhan Al Mubarak tidak berapa hari lagi. Kawasan surau dibersihkan dari rumput dan lalang serta laluan air yang biasanya bertakung di jalan raya berhadapan pintu masuk belakang di perbaharui. Dewan solat juga dibersihkan oleh ahli karian yang hadir termasuk Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari serta AJK yang lain.






Sempat lagi jawab telefon

Kepada ahli kariah yang hadir, jutaan terima kasih diucapkan. InsyaAllah semua Muslimin dan Muslimat dialu-alukan untuk mengimarahkan surau di setiap waktu.

Saturday, August 8, 2009

KENDURI TAHLIL PUAN DALILA DI SURAU












KEPERLUAN IMAM TETAP UNTUK ZOHOR DAN ASAR

Oleh Hamidon Zaini

Hari ini Sabtu saya difahamkan ada satu Jemaah akan datang untuk bermukim beberapa hari di Surau An-Nur. Sebagai seorang yang pernah turut serta di suatu ketika dulu, saya tergerak untuk nusrah (mengalu-alukan) kedatangan mereka dan bersolat Zohor bersama mereka di surau. Namun jemaah yang dimaksudkan tidak ada. Saya merupakan di antara yang awal datang ketika itu. Hati saya mula terdetak samada ada orang lain akan datang ke surau untuk sama-sama solat berjamaah Zohor. Kemudian satu persatu ahli kariah datang. Ramai jugak yang datang berjemaah untuk Solat Zohor.

Pada waktu Asar, saya datang sekali lagi dan kali ini bilangannya lebih kecil dari waktu Zohor tadi tetapi memadai memandangkan waktu petang sebegitu ketua keluarga selalunya membawa ahli keluarga samada bersantai di mana-mana atau menunaikan hajat ahli keluarga untuk membeli belah keperluan keluarga dan sebagainya.

Persoalan yang ingin saya utarakan di sini adalah keperluan ahli kariah untuk menunaikan tuntutan fardhu kifayah yakni wajib diadakan solat berjemaah di surau pada setiap waktu. Hari Sabtu dan Ahad mungkin kewajiban ini tertunai seperti bukti apa yang berlaku hari ini. Bagaimana pulak hari2 bekerja seperti Isnin hingga Jumaat? Sekiranya tidak tertunai, maka setiap ahli kariah akan berdosa. Oleh itu, saya mengambil kesempatan di sini untuk menyarankan kepada AJK Surau An-Nur untuk mempertimbangkan keperluan Iman Tetap bagi mempastikan Solat Zohor dan Asar berjemaah tertegak seperti Solat Subuh, Maghrib dan Isyak yang mana Imam Tetap disediakan. Isu ini saya akan sambung sekiranya mendapat maklum balas dari pengunjung blog ini atau ahli kariah dan AJK Surau yang bakal saya temui nanti.

Friday, August 7, 2009

RAYUAN KUTIPAN DERMA SEMPENA RAMADHAN AL MUBARAK



Muslimin & Muslimat yang dirahmati Allah sekelian,

Sukacita dimaklumkan bahawa dengan kedatangan Bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, Solat Berjemaah Maghrib dan Isyak seperti biasa akan diteruskan di samping Solat Sunat Teraweh yang datang setahun sekali bersama Ramadhan Al-Mubarak. Muslimin & Muslimat semua dijemput hadir bagi memakmurkan Surau An-Nur Kasturi Height, Putra Nilai.

Jawatankuasa Surau telah bersetuju untuk mengadakan Jamuan Berbuka Puasa dan moreh selepas Solat Sunat Teraweh. Kos mengadakan jamuan berbuka puasa dan moreh tersebut dianggarkan berjumlan RM150.00 sehari. Sehubungan dengan itu Muslimin & Muslimat dialu-alukan untuk membuat sumbangan ikhlas bagi menjayakan perkara tersebut. Sumbangan boleh diberikan kepada Bendahari Surau atau wakil-wakil taman seperti Springs Vila, Desa Kasturi, Desa Casuarina dan Desa Melati. Sumbangan dalam bentuk cek boleh ditulis atas nama Surau An-Nur Desa Kasturi Height. Sumbangan boleh juga dibuat secara online di akaun Surau di Bank Islam Nombor Akaun: 12104010007817.

Semua sumbangan Muslimin & Muslimat semua diucapkan Jazakumullah khairan kathiran.

Yang Berusaha,

Yang Bhg Dato' Hj Wazir Hj Muaz
Pengerusi

Prof Dr Mohammad Hj Alias
Setiausaha

Zainal Nor Hj Mohd Saad
Bendahari

Sunday, August 2, 2009

Kelas Pengurusan Jenazah



Pada 2hb Ogos yang lalu telah dianjurkan Kelas Pengurusan Jenazah di Surau An-Nur Kasturi Height dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAIN) dan dikelolakan oleh Biro Kebajikan dan Sosial Surau An-Nur Kasturi Height. Penceramah yang mengendalikan kelas tersebut adalah Ustaz Mohd Shukri (bekas anggota Kagat yang kini sedang menjalani penempatan peralihan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Seremban) bersama isteri beliau yang juga bekas anggota Kagat.

Sambutan ahli kariah sangat menggalakkan. Seramai lebih 40 orang ahli kariah telah hadir yang terdiri dari 25 lelaki dan 15 wanita. Sessi kelas telah bermula dari jam 9.00 pagi dan berakhir kira2 jam 3.30 petang. Sekalung tahniah diucapkan kepada Saudara Ridzaudin (Din) yang telah sudi menjadi model untuk kaum lelaki pada hari tersebut.

Di akhir kelas, beberapa ahli kariah telah dengan sukarela bersetuju untuk memberi bantuan kepada mana2 ahli keluarga yang ditimpa kematian. Kumpulan tersebut diketuai oleh Cikgu Azhari Awang Mat yang juga merupakan Imam 1 Surau An-Nur Kasturi Height. Kumpulan tersebut akan dibantu oleh Pak Bakar Jamil, Kamaruzzaman Mohd Isa, Ibrahim Maskom dan beberapa nama lagi. Sila hubungi Cikgu Azhari (013-321 9002) untuk urusan seterusnya.

Semasa kaum lelaki dibimbing oleh Ustaz Shukri, kaum wanita pula dibimbimg oleh Ustazah (isteri Ustaz Shukri). Untuk tatapan pengunjung blog, hanya gambar praktikal kaum lelaki yang ditunjukkan di sini.



























Saturday, August 1, 2009

Kenduri Tahlil di Rumah Allahyarham Eddie








PENGAJIAN BULAN OGOS

Jadual Pengajian di Bulan Ogos akan diteruskan walaupun Ramadhan terkandung di sebahagiannya. Sewaktu Bulan Ramadhan, Solat Teraweh dilakukan dengan 8 rakaat dan 3 witir. Di antara 4 rakaat pertama dan 4 rakaat kedua akan diadakan Tazkirah Teraweh. Berikut adalah jadual pengajian yang telah susun bagi tujuan tersebut;

Tarikh Hari Pengajian Penceramah
08/02/2009 Ahad Tazkirah Ihya Ramadhan Dr Mohamad Zulkifli Al Bakri
08/03/2009 Isnin Bidayatul Hidayah Ustaz Anwar Helmi
08/07/2009 Jumaat( 9.00 pagi) Tafsir (Muslimat Sahaja) Ustazah Robiatul Adawiyah Muhamad
08/07/2009 Jumaat Mustika Hadith Ustaz Ikmal Zaidi Hashim
08/08/2009 Sabtu Mukashafah Al Qulub' Ustaz Azman Abd Halim
08/11/2009 Selasa Tafsir Al Munir Ustaz Najmuddin Karim
13/8/2009 Khamis Hadith Soheh Muslim Ustaz Zulhelmi Mohd Nor
14/8/2009 Jumaat( 9.00 pagi) Tafsir (Muslimat Sahaja) Ustazah Robiatul Adawiyah Muhamad
17/8/2009 Isnin Bidayatul Hidayah Ustaz Anwar Helmi
21/8/2009 Jumaat( 9.00 pagi) Tafsir (Muslimat Sahaja) Ustazah Robiatul Adawiyah Muhamad
25/8/2009 Selasa Tazkirah Teraweh Ustaz Anwar Helmi
27/8/2009 Khamis Tazkirah Teraweh Ustaz Zulhelmi Mohd Nor
28/8/2009 Jumaat( 9.00 pagi) Tafsir (Muslimat Sahaja) Ustazah Robiatul Adawiyah Muhamad
29/8/2009 Sabtu Tazkirah Teraweh Ustaz Azman Abd Halim


Kami mengalu-alukan sebarang Infaq dari semua. Sebarang pertanyaan boleh hubungi Ahmad Zaharudin - 013 226 0008, En Kamarulzaman - 019 654 9150 Nasri - 019 668 1972, Raja Sahrin - 017 655 6225 dan En Rased 012 239 0859.

Wednesday, July 8, 2009

World Ijtimak Nilai, Malaysia

Tuan Tuan Yg Mulia,

Masjid Jame' Bandar Baru Seri Petaling akan menganjurkan Program Ijtimak Dunia di Nilai, bertempat di Lot 17607, Bersebelahan Masjid Kuarters KLIA, Nilai, Mukim Labu, Negeri Sembilan pada 9-12 Julai 2009. Ini merupakan kali kedua bumi Malaysia menganjurkannya selepas Kuala Terengganu dipilih pada tahun 1982. Umat Islam dari seluruh benua dijangka akan menghadirinya, Insya Allah.

Jadi tuan tuan yg mulia,

Mereka berkorban dan datang beribu ribu km ke Nilai untuk bersama sama dalam Program ini, Kita sebagai tuan rumah seharusnyalah bersama sama juga.

Bagi mereka yang maseh was was apakah yg dilakukan oleh jemaah-jemaah ini, inilah peluang terbaik untuk mendapatkan jawapannya sendiri....

Semoga Allah mudahkan usaha atas iman kita untuk bersama sama di dalam majlis ini.

Harap di perpanjangkan hebahan ini kepada seramai mungkin umat.

Yg baik dari Allah jua,
Yg dhaif dan silap, kekurangan saya.

Ahmad Zaharudin Mohamad Zin
FW: Ijtimak Nilai 2009

013 226 0008
E-mail: ahmadzaharudinEMS@KLIAekspres.com


Tuesday, July 7, 2009

Kelas Tafsir Al Qur'an untuk Muslimat

Biro Hal Ehwal Wanita akan mengadakan Kelas Tafsir Al Qur'an khusus untuk muslimat seperti jadual berikut;

Tempat: Surau An-Nur Kasturi Height

Penceramah: Ustazah Rabiatul Adawiyah

Tarikh: 10hb Julai 2009

Jam: 9.00 pagi hingga 11.00 pagi

Semua Muslimat yang berkelapangan dijemput hadir. Tolong hebah-hebahkan hebahan ini kepada rakan dan taulan berhampiran. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Yang Berbahagia Datin Hjh Zaharah bte Hj Ahmad di talian 012 315 2006.

Sunday, July 5, 2009

Syor untuk AJK Surau An-Nur Kasturi Height



Gambar ini saya ambil waktu saya solat Asar di Surau Intanaria, Bandar Baru Bangi. Saya tertarik kepada binaan yang dibuat untuk kemudahan kaum wanita sewaktu datang untuk bersolat di surau tersebut. Saya ingin mencadangkan sekiranya pihak surau mempunyai dana yang mencukupi atau para pembaca sekelian sudi untuk membiayai 2 perkara ini iaitu kawasan khas untuk mengambil wuduk bagi wanita dan pembahagi (separator) dalam bentuk sliding seperti gambar di bawah;


Tempat mengambil wuduk wanita


Pembahagi (separator) di antara saf wanita dengan lelaki

Wednesday, July 1, 2009

JADUAL PENGAJIAN BULAN JULAI 2009







JADUAL PENGAJIAN BULAN JULY 2009









Tarikh Hari Pengajian Penceramah Tempat

07/03/2009 Jumaat Mustika Hadith Ustaz Ikmal Zaidi Hashim Surau An Nur, Kasturi Height

07/06/2009 Isnin Bidayatul Hidayah Ustaz Anwar Helmi Surau An Nur, Kasturi Height

07/09/2009 Khamis Hadith Soheh Muslim Ustaz Zulhelmi Mohd Nor Surau An Nur, Kasturi Height

07/11/2009 Sabtu Mukashafah Al Qulub' Ustaz Azman Abd Halim Surau An Nur, Kasturi Height

14/7/2009 Selasa Tafsir Al Munir Ustaz Najmuddin Karim Surau An Nur, Kasturi Height

17/7/2009 Jumaat Mustika Hadith Ustaz Ikmal Zaidi Hashim Surau An Nur, Kasturi Height

20/7/2009 Isnin Bidayatul Hidayah Ustaz Anwar Helmi Surau An Nur, Kasturi Height

22/7/2009 Rabu Al Fiqh Al Manhaji Al Ustaz Hj Alias Hj Ali Surau An Nur, Kasturi Height

23/7/2009 Khamis Hadith Soheh Muslim Ustaz Zulhelmi Mohd Nor Surau An Nur, Kasturi Height

28/7/2009 Selasa Tafsir Al Munir Ustaz Najmuddin Karim Surau An Nur, Kasturi Height



Mukashafah Al Qulub' Ustaz Azman Abd Halim Surau An Nur, Kasturi Height

06/06/2009 Sabtu Ringkasan Tazkirah Al Qurtubi Ustaz Najmuddin Karim Masjid Putra Nilai

06/07/2009 Ahad Tafsir Ustaz Ikmal Zaidi Hashim Masjid Putra Nilai

14/6/2009 Ahad Tafsir Ustaz Ikmal Zaidi Hashim Masjid Putra Nilai

20/6/2009 Sabtu Ringkasan Tazkirah Al Qurtubi Ustaz Najmuddin Karim Masjid Putra Nilai

21/6/2009 Ahad Tafsir Ustaz Ikmal Zaidi Hashim Masjid Putra Nilai

28/6/2009 Ahad Tafsir Ustaz Ikmal Zaidi Hashim Masjid Putra Nilai







Kami mengalu-alukan sebarang Infaq dari semua. Sebarang pertanyaan boleh hubungi
Ahmad Zaharudin - 013 226 0008, En Kamarulzaman - 019 654 9150,
En Nasri - 019 668 1972 atau YM Raja Sahrin - 017 655 6225.